Wednesday, May 19, 2010

Jangan Menconteng Arang Ke Muka Mak Ayah !


Apabila balik ke kampung halaman, banyaklah cerita-cerita tentang hal semasa di kampung yang diceritakan oleh mak dan ayah. Salah satu perkara yang sangat membimbangkan saya adalah tentang pergaulan bebas dan kes perzinaan yang semakin menjadi-jadi.

Cerita 1

Seorang pelajar sekolah menengah, yang baru berumur 15 tahun disahkan hamil 3 bulan. Ini yang terpapar di akhbar bulan Mac yang lalu, bermakna sekarang kandungannya telah mencecah 5 bulan. Saya namakan pelajar ini sebagai A dan ayahnya sebagai B. Sebelum perkara ini berlaku, abang kepada si A sudah beberapa kali menceritakan perihal A kepada emaknya yang suka membonceng motor bersama seorang lelaki, yang berasal dari kampung berhampiran. Namun, emaknya bukan menyiasat kebenaran cerita tersebut, bahkan memarahi abangnya itu dan ingin memukulnya pula.

Sebelum itu, ada salah seorang daripada anak perempuannya yang juga suka membonceng motor dengan lelaki, tetapi sekarang telah selamat diijabkabulkan."Dulu kakak A tiada masalah bonceng motor dengan lelaki pun, takde apa-apa perkara yang elok pun berlaku. Sekarang pun dah kahwin", barangkali beginilah yang dilontarkan oleh mak A.

Apabila nasi telah menjadi bubur, tiada apa lagi yang boleh menukar bubur itu menjadi nasi. Riuh sehingga ke beberapa buah kampung, anak si B mengandung 3 bulan, anak luar nikah! Orang tidak sebut A yang melakukan perkara itu, tetapi nama ayahnya lah yang disebut-sebut. Malu!Malu si ayahnya, terpalit malu ke seluruh ahli keluarga.. Akibat pergaulan bebas, yang hanya bermula dengan membonceng motor, akhirnya membawa mereka ke kancah perzinaan yang dimurkai Allah. Menurut cerita, si B sekarang ini tinggal di rumah saudara-maranya di daerah yang lain, sementara menunggu kelahiran bayinya.


Cerita 2

Lagi kes mengandung anak luar nikah.

Setelah setahun-dua tinggal di rumah keluarga si lelaki, akhirnya perempuan itu mengandung, dan sekarang kandungannya telah mencecah lebih kurang 6 bulan. Saya namakan perempuan ini sebagai C. C tidak berani untuk pulang ke rumahnya, di daerah Besut, kerana pasti ayahnya akan memarahi dan mungkin pula akan memukulnya. Maka, si C terpaksa tinggal di rumah lelaki itu sementara menunggu kelahiran bayinya.

Lelaki yang melakukan perbuatan terkutuk dengan C, sanggup untuk berkahwin dengan C, setelah mengetahui C disahkan mengandung.Saya namakan lelaki tersebut sebagai D. Namun, ayah C menetapkan mas kahwin sebanyak RM5,000 untuk mengahwini anaknya, walaupun mengetahui hakikat yang anaknya sedang mengusung bayi yang tidak sah taraf.Disebabkan mahar yang tinggi itu, C tidak dapat berkahwin dengan si C.

Orang tidak sebut nama C. Tetapi orang mencanang nama ayah si C. Malu ayahnya tak terkata sehingga sekarang berkurung di rumah, malu nak menghadapi wajah-wajah orang kampung yang mula mencemuhnya.

Cerita 3

Cerita 3 ini, yang ayah dah cerita tahun lepas dan masih berlaku lagi sehingga sekarang. Di kampung yang berhampiran dengan kampung saya, masih terdapat 2-3 buah rumah lagi yang mana ada perempuan yang tinggal dirumah tersebut. Perempuan yang bukan mahram, merupakan kekasih kepada lelaki dalam rumah itu. Yang menghairankannya,mereka bukan tinggal sehari dua, tapi berbulan-bulan, memakan tahun. Untuk apa tinggal di rumah lelaki? Tiada rumah sendirikah? Ada satu pasangan sahaja yang telah berkahwin, setelah hampir setahun perempuan itu tinggal di rumah lelaki.

Kata ayah lagi, pada zaman dahulu jika lelaki pergi ke rumah perempuan untuk berjumpa dengan perempuan itu, maka orang kampung akan beramai-rami memukul lelaki itu. Ini disaksikan sendiri oleh ayah ketika ayah muda-muda dulu. Habis berdarah-darah lelaki itu dipukul oleh orang kampung. Lelaki zaman dahulu sangat melindungi para wanita dari ancaman-ancaman dari lelaki-lelaki syaitan yang bertopengkan manusia.

"Ayah, macam pula dengan perempuan yang pergi ke rumah lelaki?", tanya saya yang semakin berminat mendengar cerita ayah.

"Kak Ngah, perempuan zaman dahulu sangat pemalu. Usah disebut tentang tinggal di rumah lelaki, apabila bertembung dengan lelaki pun mereka akan tersipu-sipu malu", terang ayah.

**************************************

Pembaca sekalian,

Cubalah kita bayangkan..
Ini adalah realiti yang berlaku di kawasan kampung saya, yang terletak di daerah Hulu Terengganu. Kawasan pedalaman adalah kawasan yang biasanya agak kurang terlibat dengan gejala sosial, namun sekarang tanggapan itu sudah tidak benar lagi. Buktinya, baca sahaja 3 cerita di atas, sudah cukup membuktikan betapa runcingnya masalah sosial remaja.Itu belum dikira bayi yang lahir,tidak cukup sembilan bulan jika dikira dari tarikh perkahwinan.Tidak perlu saya mencari-cari kes begini di kampung-kampung jiran, cukuplah mengambil iktibar dari kes-kes yang berlaku di sekeliling rumah saya, ya maksud saya rumah-rumah jiran. Astaghfirullah... Ini yang berlaku di kampung-kampung, bagaimana pula dengan bandar-bandar? Sudah pasti, lebih dasyat lagi saya kira..

Kenapa ya perkara sebegini boleh berlaku?

Di dalam satu kursus perkahwinan yang diadakan di kawasan saya, apabila ditanya kepada para peserta siapakah yang cukup solat 5 waktu, hanya 15 orang sahaja yang mengangkat tangan. 15 orang daripada 100 orang peserta!Itu belum ditanya tentang solat, belum ditanya tentang puasa, belum ditanya tentang pergaulan. Solat itu adalah tiang agama. Jika solat diringan-ringankan, tidak mustahil jika mereka sanggup melakukan perbuatan-perbuatan mungkar yang lain.Bukankah solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar? Inilah salah satu jawapan kepada kes-kes perzinaan yang berlaku . Selain itu, banyak lagi faktor-faktor yang lain seperti pengaruh media massa, pergaulan bebas, kurangnya cakna oleh ibu-bapa, hilangnya perasaan malu dan banyak lagi.

Jangan menconteng arang ke muka mak dan ayah!

Jika kita rasa kita memang tak kisah menanggung malu di dunia mengandung dan mengelek bayi tanpa ayah, jika kita rasa kita memang tak hirau hinaan dan cemuhan orang, jika kita memang gembira melihat wanita-wanita menderita atas perbuatan khianat kita, jika kita memang sanggup dibakar di neraka Allah, seandainya kita sanggup menghadapi semua itu sekalipun, namun ingatlah juga kepada mak dan ayah, janganlah menconteng arang ke muka mereka...Orang tidak menyebut nama kita, tetapi nama mak ayah kitalah yang akan dikaitkan dengan perbuatan busuk kita itu....

Namun, saya percaya, jika ditanya kepada sesiapa pun, pasti tiada siapa pun yang berani berkata, "Aku sanggup dibakar di neraka" yang bahang panasnya tidak terkira. Tapi, dalam kehidupan seharian, tidak pula kita berfikir panjang, adakah apa yang aku buat ini akan menjerumuskan aku ke neraka Allah, atau membantuku ke SyurgaNya.....

Saya tidak berkata kepada orang lain, malahan kepada diri saya sendiri juga yang sangat banyak melakukan dosa ini...

Allah tidak berkata jangan melakukan zina, tetapi Allah berpesan JAUHI ZINA..Semoga kita sama-sama beroleh pengajaran dari cerita-cerita saya ini, InsyaAllah...

No comments: